Pengarang:
Dr. Chan Lai Fong
Profesor Madya & Pakar Perunding Psikiatri
Universiti Kebangsaan Malaysia & Suicide Prevention Research Malaysia (SUPREMA)
Sebagai seorang ahli professional kesihatan mental dan juga ahli keluarga kepada pesakit yang menerima rawatan kesihatan mental, saya berasa syukur untuk melihat advokasi dan promosi kesihatan mental yang semakin giat berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Pengenalpastian petanda-petanda awal gangguan emosi adalah komponen yang penting dalam kesedaran dan pemahaman tentang isu-isu kesihatan mental. Seterusnya, langkah penting yang harus dititikberatkan adalah bagaimana dan di mana kita boleh mendapatkan bantuan supaya intervensi yang sewajarnya diperolehi dan fungsi individu yang dibantu berjaya dioptimumkan.
Yang jelas disediakan adalah perkhidmatan perubatan kecemasan 24/7 di hospital terdekat jika seseorang individu menghadapi krisis kesihatan mental. Di samping itu, adalah amat penting untuk menyebarkan maklumat tentang kewujudan talian bantuan yang merupakan intervensi awal berlandaskan bukti dalam situasi krisis bunuh diri (Hvidt et al, 2016).
Jadual di bawah menyenaraikan maklumat tentang perkhidmatan talian bantuan yang sedia ada di seluruh Malaysia. Aspek penambahbaikan talian bantuan yang perlu dipertimbangkan adalah dari segi mempelbagaikan bahasa pengantara untuk memenuhi keperluan masyarakat majmuk di Malaysia, mengembangkan waktu perkhidmatan dan pemberian status bebas tol talian supaya perkhidmatan ini boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat.
Negara seperti Amerika Syarikat menggunakan strategi untuk memusatkan talian bantuan pencegahan bunuh diri di peringakat kebangsaan dan menyingkatkan nombor talian bantuan tersebut kepada 3 angka untuk kemudahan ramai. Dalam konteks di Malaysia, kita harus meningkatkan usaha untuk melibatkan semua pihak berkepentingan, khasnya penggubal polisi untuk memudahkan lagi akses talian bantuan sedemikian yang berpotensi menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Rujukan:
Hvidt, E. A., Ploug, T., & Holm, S. (2016). The impact of telephone crisis services on suicidal users: a systematic review of the past 45 years. Mental Health Review Journal.
Penghargaan kepada Dr. Ng Yin Ping, Dr. Ravivarma Rao Panirselvam, Encik Pheh Kai Shuen dan semua organisasi perkhidmatan talian bantuan yang disenaraikan atas kepakaran dan bantuan dalam penyediaan jadual di bawah.